PAKAR pukulan sudut penalti kelahiran Korea Selatan, Jang Jonghyun meledak hatrik kedua dalam tempoh tiga hari untuk membantu Pasukan Hoki Terengganu (THT) menewaskan Maybank 4-1 dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi.

Ketika menentang Hockademy KL pada Rabu lalu, Jonghyun, 36, juga meledak hatrik untuk membantu skuadnya mencatat kemenangan besar 6-0.

Dengan hatrik itu ‘mesin’ pencetak gol THT itu menamatkan pusingan pertama MHL dengan merekod 12 gol selepas menyudahkan dua pukulan sudut penalti serta satu penalti strok hari ini.

Dalam perlawanan itu, Jonghyun meledak gol pertama pada minit ke-22.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-41, THT yang mendominasi permainan sejak wisel permulaan dikejutkan gol penyamaan pelawat hasil pukulan sudut penalti Nur Asyraf Ishak.

Serangan bertali arus THT membuahkan hasil apabila dihadiahkan penalti strok yang tidak dilepaskan Jonghyun pada minit ke-43 untuk mendahului 2-1.

THT yang pertama kali beraksi di laman sendiri musim ini menambah derita pelawat selepas Jonghyun melengkapkan hatrik pada minit ke-48.

Pemain kebangsaan, Rashid Baharom ‘membunuh’ sisa perjuangan skuad lawan apabila meledak gol keempat pasukannya untuk melengkapkan kemenangan bergaya 4-1.

Kemenangan itu merapatkan kedudukan THT dengan pasukan di tangga kedua, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang tumpas 0-1 kepada pendahulu liga, UniKL.

“Ini merupakan permainan terbaik THT sejak aksi pembuka tirai MHL. Kemenangan ini dicapai selepas kami menguasai rentak permainan,” ujar pengendali THT, Dhaarma Raj Abdullah.

All copyrights for this article are reserved to Metro