CRISTIANO Ronaldo melebarkan rekod jaringan dalam enam perlawanan liga berturut-turut tatkala Juventus merampas kedudukan teratas Serie A menerusi kemenangan 2-1 ke atas Roma, pagi ini.

Lawan yang tewas turut ditimpa nasib malang apabila bintang yang semakin meningkat naik mereka Nicolo Zaniolo mengalami kecederaan lutut yang serius.

Juventus menjarakkan kedudukan dua mata mengatasi Inter Milan, yang seri 1-1 menentang Atalanta di San Siro semalam, selepas hanya mendahului dua gol dalam masa 10 minit permainan di Rome.

“Kami sangat bagus dalam 60 minit. Kemudian, jika kamu beraksi berdepan Roma, ia hampir tidak dapat dielakkan untuk menderita pada akhirnya.” kata jurulatih Juventus, Maurizio Sarri.

Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo (kanan) menyempurnakan penalti ketika mengatasi Roma. FOTO AFP

Pemain pertahanan Turki, Merih Demiral bijak mencuri ruang untuk menghasilkan gol pembukaan selepas tiga minit permainan berpunca daripada sepakan percuma dilakukan Paulo Dybala.

Beberapa minit kemudian pemain Argentina, Dybala dijatuhkan di dalam kawasan kotak penalti dan Ronaldo menyempurnakan jaringan untuk menjadikan sembilan gol dalam enam perlawanan liga.

“Ia cukup sukar beraksi berdepan pasukan seperti Juventus dan kami membenarkan dua gol awal,” kata jurulatih Roma, Paulo Fonseca.

“Kami menampilkan persembahan baik selepas itu, berdepan pasukan yang hebat. Namun apabila kamu ketinggalan dua gol, ia agak sukar.”

Sementara itu, jaringan tunggal perlawanan oleh Alejandro Berenguer memastikan Torino menewaskan Bologna untuk melonjak ke kedudukan ke tujuh.

Pemain Sepanyol, Berenguer meledak jaringan selepas berjaya menyambut hantaran daripada Kapten Andrea Belotti pada minit ke 11 ketika Torino menghampiri dua mata dengan pasukan di tangga ke enam Cagliari, yang berada dalam slot akhir Liga Europa.

Hellas Verona di tangga kelapan pula menewaskan Genoa, 2-1 manakala Fiorentina mengatasi SPAL , 1-0 sementara Sampdoria berpesta gol mengatasi Brescia 5-1 dan Udinese membenam Sassuolo 3-0.

All copyrights for this article are reserved to Metro