MENJADI pemain yang bergerak secara profesional memang berdepan pelbagai cabaran, namun jaguh beregu campuran negara, Goh Liu Ying mempunyai sedikit kelebihan selepas mendapat penajaan dari barangan sukan terkenal China, Li Ning.

Dia dan Chan Peng Soon boleh menarik nafas lega kerana jenama berkenaan menaja mereka sejak tahun lalu selepas mengambil keputusan untuk bergerak secara profesional.

Menerusi muatnaik terbaru di laman sosial, Instagram hari ini, Liu Ying sempat menggayakan sambil menyarung dan memegang dua pasang kasut larian Li Ning.

“Kami menandatangani kontrak dengan Li Ning selama dua tahun. Kami sangat selesa dengan jenama ini. Selain pakaian dan peralatan sukan, kami turun dibekalkan dengan pakaian kasual.

“Mudah buat saya kerana tidak perlu berbelanja untuk membeli pakaian. Semuanya sudah lengkap. Peng Soon lagi beruntung, kerana anak dia juga turut dibekalkan dengan pakaian jenama ini,” kata Liu Ying ketika dihubungi Arena Metro hari ini.

Pemain kelahiran Melaka itu mengakui mempunyai lima pasang kasut badminton, tiga pasang kasut joging dan lain ialah kasut kasual serta selipar.

“Selain itu Li Ning juga mempunyai jaket musim sejuk dan juga pakaian untuk kegunaan di gimnasium. Almari saya seperti, ruang pameran Li Ning di pusat membeli-belah,” katanya sambil berseloroh.

Peng Soon-Liu Ying selepas ini akan beraksi di Terbuka Jerman dan Seluruh England bulan depan.

All copyrights for this article are reserved to Metro