PEROMPAK bersenjatakan pisau memecah masuk ke kediaman pemain tengah Tottenham, Dele Alli di London, awal pagi semalam.

Bagaimanapun perancang England itu terselamat daripada kecederaan serius selepas berlaku pergaduhan.

Alli, 24, menjalani pengasingan di rumahnya bersama abangnya, pasangan masing-masing dan seorang rakan rapat lapor Daily Mail menjelang sambungan semula latihan pasukannya, Tottenham.

Difahamkan dua lelaki memecah masuk pada tengah malam dan berlaku pertengkaran dengan Alli sebelum mereka melarikan beberapa barang kemas.

Alli dan beberapa mangsa lain dilaporkan masih terkejut dengan kejadian itu tetapi tidak mengalami kecederaan.

Sumber polis memberitahu kepada the Mail : “Pihak Polis menerima panggilan pada Rabu 13 Mei kira-kira jam 12.35 pagi mengenai laporan kejadian rompakan di sebuah kediaman di Barnet.”

“Dua lelaki memecah masuk ke kediaman itu dan mengambil barang kemas termasuk jam sebelum melarikan diri.

“Seorang daripada mangsa yang berada di kediaman itu, berusia 20-an, mengalami kecederaan kecil di muka akibat diserang. Dia tidak perlu mendapatkan rawatan di hospital.”

Tiada tangkapan dijalankan setakat ini.”

Alli dijangka memulakan latihan bersama Spurs minggu depan menjelang saingan Liga Perdana yang dijadualkan bakal disambung semula pada bulan depan.

All copyrights for this article are reserved to Metro