DUA jaringan babak pertama Keita Balde membantu AS Monaco mara ke peringkat 16 terakhir Piala Perancis selepas menewaskan pasukan kejutan dari liga empat, Saint-Pryve Saint-Hilaire 3-1 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Tuan rumah yang menewaskan kelab Ligue 1, Toulouse 1-0 pada pusingan 64 ketinggalan 0-3 sebelum rehat di Orleans tetapi bangkit merapatkan kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan menerusi Carnejy Antoine.

Pemain sayap Senegal, Keita menjaringkan gol pada minit ke-11 dan 28, yang pertama apabila menolak masuk bola muntah tandukan Stevan Jovetic yang ditampan penjaga gol, Charles-Henri Chatelin.

Pemain antarabangsa Perancis, Wissam Ben Yedder turut menembusi gawang lawan pada minit ke-36. Skuad Roberto Moreno akan menentang Saint-Etienne pada pusingan seterusnya pada 29 Januari.

All copyrights for this article are reserved to Metro