LANGKAH Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengikat bekas pemain import Kedah, Fernando Rodriguez dan bekas pemain import kelab Liga 1 Indonesia, Persela Lamongan, Kei Hirose untuk menyertai Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ibarat serampang dua mata.

Ini berikutan, peratuaran baharu yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini membenarkan pemain dari pasukan sokongan (feeder) boleh dinaik ke pasukan utama JDT bila-bila masa.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards berkata, langkah mengikat pemenang Anugerah Kasut Emas di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 merupakan tindakan tepat kerana pemain kelahiran Sepanyol itu memenuhi falsafah bola sepak yang diterapkan JDT.

“Musim baharu yang bermula penghujung Februari ini pasti menarik kerana kita boleh menukar mana-mana pemain untuk menyertai skuad utama dari pasukan JDT II dan anda sendiri tahu dengan jadual yang padat tidak timbul lagi masalah untuk melakukan perubahan dikalangan pemain.

“Malah kehadiran Rodriguez dan Hirose juga dapat membantu meningkatkan lagi kualiti pemain-pemain muda JDT yang pada musim ini kita memberi fokus untuk menurunkan barisan pemain muda di bawah kendalian jurulatih baharu, Rafael Gil Sanchez,” kata Edwards.

Dalam pada itu, Rodriguez akan berusaha mempamerkan aksi terbaik untuk membantu skuad JDT II mengharungi kempen Liga Perdana dan optimis mampu menyertai skuad utama dan bersedia memberi sumbangan jika diperlukan.

Malah, dia juga tidak berdepan masalah walaupun pada musim lalu beraksi di liga elit domestik namun ibarat diturunkan pangkat beraksi di kancah liga kedua dan menganggap saingan liga itu juga tetap kompetitif.

Di tanya mengenai keengganan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak menyambung kontrak walaupun muncul penjaring terbanyak pada musim lalu, Rodriguez mengakui agak pelik selepas memberi sumbangan terbaik kepada skuad Lang Merah yang muncul juara Piala FA, musim lalu.

“Memang pelik tapi saya terima kenyataan mungkin itu cara mereka dan saya amat gembira apabila mengikat kontrak selama dua tahun bersama JDT II dan berazam untuk membantu pasukan yang dibarisi pemain muda menyerlah pada musim ini,” kata Roriguez.

Sementara itu, Hirose mengakui corak permainan JDT II yang gemar beraksi dengan corak `tiki-taka’ menarik minatnya menyertai pasukan itu dan turut berazam untuk mengintai peluang dinaikkan pangkat ke skuad Harimau Selatan.

“Saya gemar beraksi bersama pemain muda malah ketika latihan pertamam bersama JDT II, saya lihat mereka begitu ligat dan pantas mengawal bola.

Malah jika diberi pilihan dan tersenarai dalam skuad utama pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sudah tentu saya mahukan kalahkan kelab Jepun,” kata Hirose yang pernah beraksi di Liga Malta.

All copyrights for this article are reserved to Metro