PENULARAN wabak Covid-19 di seluruh dunia turut memberi kesan kepada penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang mungkin terpaksa menangguhkan pemergiannya ke benua Eropah.

Luqman, 18, yang sepatutnya terbang ke Cardiff City FC bulan lalu sebagai persediaan awal sebelum menyertai kelab Liga Satu Belgium, KV Kortrijk dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ekoran wabak itu.

Bagaimanapun, dengan perkembangan terkini yang dilihat semakin meruncing terutama di benua Eropah, Luqman terpaksa menangguhkan lagi hajatnya hingga ke satu tarikh yang belum pasti.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu ketika ini masih menjalani latihan bersama pasukan Selangor II bagi memastikan kecergasannya di tahap terbaik.

“Akhir bulan lalu dia sepatutnya berlepas ke Cardiff tetapi pihak Cardiff menasihatkan supaya jangan sebab isu Covid-19 yang melanda Eropah adalah serius dan akan beri risiko kepada Luqman. Kami pun terima kalau Cardiff tak galakkan dia pergi dan dia hanya akan terus pergi ke Belgium pada penghujung bulan ini.

“Tapi itulah dekat Eropah pun sekarang isu Covid-19 tengah meluas, jadi kita tak boleh nak kata apa sebab mungkin tertangguh lagi. Tapi sebab nak masuk musim bunga, mungkin masalah ini akan kurang sikit,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, pemilik kelab KV Kortrijk yang juga ahli perniagaan dari Malaysia, Tan Sri Vincent Tan tertarik dengan kebolehan yang ada pada Luqman dan menawarkan kontrak profesional selama lima tahun kepadanya.

DR JOHAN KAMAL HAMIDON

Berdasarkan perancangan awal, Luqman sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di Cardiff City sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun pemergiannya tertangguh sebanyak dua kali termasuk kegagalan mendapatkan visa serta isu Covid-19.

Kata Dr Johan, walaupun Luqman masih ‘tersangkut’, beliau memuji sikap pemain skuad bawah 19 tahun negara itu yang komited dan berdisiplin dalam latihan setiap hari.

“Sudah tentu Luqman dah tak sabar nak pergi ke luar negara sebagai pemain profesional dan dia memang teruja nak beraksi di sana. Komitmen dan semangat dia masih membuak-buak dan membara. Dia sedar bukan senang beraksi di sana dan sebab itu dia berusaha keras kerana pergi bukan untuk bercuti.

“Kami pun gembira ada pemain macam dia yang memiliki mental dan karakter yang sangat baik dan saya harap dia kekalkan sikap sama apabila berada di sana nanti,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro