AKSI cemerlang diperagakan penjaga gol, Mohd Sharmiza Yusoff ketika bersama Terengganu FC II (TFC II) musim lalu memikat barisan jurulatih Terengganu FC (TFC) untuk diserapkan dalam pasukan utama musim ini.

Bekas penjaga gol Terengganu berusia 30 tahun itu kini antara calon utama merebut `jawatan’ penjaga gol nombor satu skuad Penyu selain penjaga gol meningkat naik, Muhamad Ilham Amirullah Razali.

“Ini mungkin rezeki saya dinaikkan semula beraksi bersama pasukan utama musim ini selepas berjaya membantu pasukan TFC II merangkul trofi Piala Cabaran pada 2018 selain aksi musim lalu.

“Namun saya tidak mahu mendabik dada malah tidak begitu selesa jika dilabel sebagai penjaga gol utama pasukan TFC kerana dua lagi penjaga gol iaitu Ilham dan bekas penjaga gol skuad Piala Belia Terengganu musim lalu, tidak kurang hebatnya.

“Lagipun dalam pasukan tiada istilah pemain istimewa, malah jurulatih penjaga gol juga tidak mempunyai sikap pilih kasih, pemain yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang dia akan disenaraikan dalam kesebelasan utama.

“Namun yang pasti saya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik dengan berusaha lebih keras sama ada dalam latihan ataupun pada setiap perlawanan kerana impian saya adalah untuk membantu pasukan mencatat kemenangan,” ujar Sharmiza mesra dipanggil Kepong.

All copyrights for this article are reserved to Metro