DUA kali dipintas pada saat akhir, pasukan benua dari Australia, St George Continental Team akan mempertaruhkan pakar pecut muda untuk mencapai kemenangan mutlak pada saingan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020.

Tahun lalu, pakar pecutnya, Blake Quick, 19, menduduki tempat kedua pada peringkat kelima di Taiping dan kelapan di Pekan Kuah apabila dipintas pakar pecut handalan pasukan Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Pelucchi dan Marco Benfatto.

Keputusan paling membanggakan St George setakat ini hanyalah ketika tampil kali pertama pada 2018 di mana Benjamin Dyball menduduki tempat ketiga keseluruhan, sebelum pelumba Australia itu berhijrah dan memenangi jersi kuning LTdL 2019, seterusnya disambar pasukan World Team, NTT Pro Cycling Team untuk musim ini.

Tidak hairanlah, pasukan yang ditubuhkan pada 2015 dan dibimbing Brett Dutton ini menyenaraikan empat muka lama yang pernah beraksi musim lalu dalam usaha mereka mengejar kemenangan peringkat dan memperbaiki kedudukan individu keseluruhan berbanding edisi 2019.

Selain Quick, St George turut membariskan Michael Vink, Connor Reardon dan Matthew Zenovich yang tampil bersama skuad itu tahun lalu, selain menghantar dua lagi pakar pecut muda untuk membantu Quick ke garisan penamat iaitu James Harvey dan Jay Dutton.

Mengetuai cabaran individu keseluruhan pula adalah dua pendaki yang turut beraksi pada LTdL 2019 lalu iaitu pelumba berpengalaman berusia 28 tahun dari Australia, Vink yang sudah tiga tahun bersama St George dan Zenovich, bagi mengambil alih tempat rakan sepasukan Timothy Cameron yang tidak disenaraikan dalam LTdL kali ini.

Cameron menduduki tangga ke-21 keseluruhan dan ke-19 di Genting pada tahun lalu dan kali ini Zenovich yang menamatkan kayuhan di tempat ke-37 di Genting, menggalas tugas besar bersama-sama Vink pada pendakian setinggi 1,400 meter dari aras laut ke puncak pusat peranginan tanah tinggi terkenal itu.

Petronas LTdL 2020 akan membuka tirainya dengan majlis pengenalan rasmi pasukan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 Februari sebelum Peringkat 1 dimulakan di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak pada 7 Februari.

Perlumbaan dijangka berakhir dengan Peringkat 8 di Pulau Langkawi, membabitkan jarak keseluruhan 1,114.9km yang merentasi sembilan negeri.

All copyrights for this article are reserved to Metro