KEDAH memperoleh kemenangan moral apabila keputusan perpindahan kontroversi bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dirujuk ke Pusat Timbang Tara (AIAC) sebelum ini memihak kepada pasukan terbabit.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris yang melihat perjuangan badan induk bola sepak negeri itu untuk mendapatkan keadilan sewajarnya akhirnya memihak kepada mereka.

Beliau berkata, berdasarkan Majlis Timbang Tara, kes yang difailkan Mei tahun lalu berpihak kepada KFA, namun jumlah pampasan yang ditetapkan masih lagi perlu dipertimbangkan.

“Berita ini bercampur (suka dan ralat). Suka kerana kita di pihak yang benar. Sedikit ralat kerana jumlah pampasan yang ditawarkan tidak disertai bersama pampasan latihan.

“Sebolehnya saya ingin segera mengadakan perbincangan dalam kalangan exco KFA supaya dapat berbincang secara teliti mengenai permasalahan dan tuntutan yang ingin diutamakan.

“Peguam mencadangkan supaya kami (KFA) segera memfailkan tuntutan lain (terkini) selari dengan jumlah tuntutan yang diperlukan. Tentunya kita tidak akan bertolak ansur berkaitan jumlah tuntutan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Beliau berkata, keputusan yang memihak kepada KFA membuktikan badan induk bola sepak negeri itu berada pada pihak benar dan hanya menuntut hak mereka saja.

“Kita masih berpeluang dan masih boleh mendapatkan jumlah pampasan latihan dengan tuntutan baharu.

“Apa yang ingin saya tegaskan di sini, apa pun akan kita buat demi rakyat negeri Kedah demi kesinambungan kemajuan bola sepak negeri Kedah walaupun terpaksa menanti masa yang akhirnya kebenaran itu akan terlaksana,” katanya.

Pada Mac tahun lalu, KFA menegaskan mereka tidak pernah berpatah balik dalam kes membabitkan penyerang kebangsaan itu.

Pihak KFA juga memulakan proses timbang tara di peringkat domestik terlebih dulu sebelum bidang kuasa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Switzerland atau Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) boleh diguna pakai.

All copyrights for this article are reserved to Metro