KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara serta pegawai akan diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan ancaman koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan pendirian Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) yang menyatakan komitmen untuk bersama-sama Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 meneruskan penganjuran mengikut jadual.

“Walaupun pendirian itu mendapat reaksi pelbagai pihak, namun masih belum ada kepastian dan keputusan yang muktamad tentang status penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya juga mengambil maklum bahawa IOC mengadakan satu sesi video conferencing baru-baru ini untuk mendapat pandangan dari 45 buah negara benua Asia melalui Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) masing-masing di mana Malaysia diwakili oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menjadi ahli gabungan IOC,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Reezal, di akhir sesi itu, kesemua 45 negara termasuk Malaysia buat masa kini menyokong keputusan IOC untuk meneruskan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengikut jadual.

“Saya juga dimaklumkan oleh Presiden MOM sendiri bahawa undian sokongan itu adalah tertakluk kepada beberapa syarat,” katanya.

Antaranya jelas beliau, pihak IOC akan berusaha membuat perubahan yang adil dalam proses kelayakan atlet-atlet, aspek kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai menjadi kepentingan dan semua pihak terus memantau perkembangan terkini ancaman Covid-19 dari semasa ke semasa.

“Di samping itu, IOC yang secara keseluruhannya mempunyai 206 negara sebagai ahli gabungan, perlu dan akan mendapat pandangan majoriti sebelum membuat keputusan muktamad.

“Bagaimanapun, saya percaya IOC dan semua negara anggota akan mengambil langkah yang wajar dengan mengambil kira pandangan dan cadangan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya pandemik global Covid-19 ini menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

“Oleh yang demikian, saya memberi jaminan bahawa KBS dan MOM akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan soal dan aspek keselamatan dan kesihatan atlet negara dan pegawai diberi keutamaan yang tertinggi sebelum keputusan muktamad dibuat nanti berhubung dengan penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro