KHABIB Nurmagomedov tidak berminat ganjaran lumayan untuk aksi ulangan menentang Conor McGregor apabila tegas menyatakan: “Beri saya $100 juta (RM412 juta) untuk mengalahkan si bodoh itu sekali lagi? Saya tak fikir ia rasional.”

Atlet Russia itu tidak terpengaruh dengan wang dan berkata jika UFC mahu membayarnya juga untuk perlawanan itu, dia lebih suka mereka memberikannya kepada badan kebajikan.

Khabib membelasah McGregor untuk mengekalkan gelaran lightweight UFC 229 pada 2018 dan tidak berminat dengan pertarungan semula yang pastinya menjanjikan habuan paling lumayan dalam sejarah MMA.

“Bagaimana kami boleh membincangkan pertarungan semula itu. Semua orang dapat lihat apa berlaku di octagon (menentang McGregor). Saya menguasai perlawanan sejak mula. Saya buat apa sahaja ke atas dia dan dia hampir putus asa, jadi apa perlunya pertarungan semula. Kami hanya memperkatakan keraian dan membuat duit.”

KHABIB mencekak leher McGregor. FOTO Agensi

Ketika ditanya sama ada berminat menentang semula McGregor, dia berkata: “Sama sekali tidak.” Ketika ditanya ganjaran $100 juta (RM412 juta), Khabib tegas mengatakan: “Saya tak perlukan duit sebanyak itu. Banyak lagi organisasi di luar sana. Biarlah UFC memberikannya kepada organisasi yang memerlukan jika mereka tak tahu apa perlu dibuat terhadap duit itu. Tetapi memberikan saya $100 juta untuk mengalahkan dia sekali lagi. Saya tidak fikir ia rasional.”

Pejuang Dagestani yang belum tewas itu kini bersiap sedia mempertahankan gelaran dengan menentang Tony Ferguson pada 18 April di UFC 249 dengan ramai percaya Ferguson mungkin atlet yang akhirnya mampu menumbangkan juara bertahan itu.

“Saya ada pertarungan pada 18 April,” kata Khabib. “Pertarungan yang sangat serius. Sejak beberapa bulan lalu saya konsisten berlatih siang dan malam untuk kekal cergas.

“Anda tak pernah nampak luka di tubuh saya malah tiada kesan lebam di mata, jadi tak fikir saya hadapi masalah.”

Sebelum ini, Presiden UFC, Dana White mahu Khabib menentang semula McGregor jika dia menewaskan Ferguson.

Khabib merupakan ‘megastar’ di Russia dan Timur Tengah manakala McGregor tanpa diragui pesaing paling mencabar dalam sukan itu, jadi pertarungan semula kedua-dua jaguh pastinya ditunggu-tunggu peminat sukan tempur.

All copyrights for this article are reserved to Metro