KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) tidak pernah mengabaikan kebajikan pemain malah sudah merangka perancangan jangka panjang bagi memastikan mereka dapat mengekalkan momentum dalam mengharungi kejohanan peringkat antarabangsa.

Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya dalam satu kenyataannya kepada media memaklumkan bahawa walaupun semua pemain tujuh sepasukan (7’s) tamat kontrak pada penghujung Mac lalu namun mereka tidak akan dibiarkan terumbang ambing tanpa sebarang perancangan sistematik.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negara (MSN) dan KRM sudah ada perancangan untuk mereka dengan sebahagian besar pemain terbabit akan berada dalam pasukan 15 sebelah untuk Kejohanan Ragbi Asia pada tahun ini.

“Malah, pemain seperti Anwarul Hafiz Ahmad juga sudah terpilih untuk berada dalam pasukan ragbi profesional Malaysia Valke iaitu skuad profesional daripada negara juara Piala Dunia 2019 Afrika Selatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Dia akan menyertai Kejohanan Global Rapid Rugby (GRR) bersama empat pemain lain dari pasukan 15 sebelah kebangsaan,” katanya.

Selain itu, Shahrul Zaman berkata, secara keseluruhan pemain daripada pasukan 7’s kebangsaan atau yang dikenali sebagai Rimau 7’s sedia ada sudah mendapat perhatian daripada pasukan profesional Malaysia Valke berkenaan di atas pencapaian yang mereka capai sejak 4 tahun yang lalu.

“Namun oleh kerana pandemik Covid-19, kejohanan Ragbi Asia dan Global Rapid Rugby ditangguhkan,” katanya.

Sebelum itu, timbul spekulasi berkaitan kekecewaan barisan pemain pasukan ragbi 7’s susulan kontrak mereka bersama MSN yang berakhir pada Mac lalu, tidak disambung walaupun selepas pelbagai kejayaan diraih skuad dikenali Rimau 7’s itu.

All copyrights for this article are reserved to Metro