PEMAIN tengah Liverpool, Adam Lallana bakal meninggalkan Anfield selepas tamat kontrak pada musim panas.

Pemain berusia 31 tahun itu yang berpindah dari Southampton pada Julai 2014 menarik minat beberapa kelab yang boleh memilikinya dengan perpindahan percuma.

Kontrak Lallana tamat penghujung Jun dan dia berhasrat beraksi dengan lebih kerap dalam kesebelasan utama.

Pencabar utara London, Arsenal dan Tottenham memantau situasi itu dan dijangka mengadakan rundingan dengan wakil Lallana.

Tottenham kehilangan perancang, Christian Eriksen kepada gergasi Serie A, Inter Milan pada Januari lalu manakala pengendali Arsenal, Mikel Arteta mencari pemain tengah yang mampu menguasai bola dengan baik.

Leicester City turut menaruh minat ke atas Lallana dengan pengurus Brendan Rodgers mahu memperkuatkan jentera tengah.

Lallana mengikat kontrak dengan Liverpool ketika dikendalikan Rodgers tetapi hanya seketika bersama pengendali dari Ireland Utara itu sebelum menyinar di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Liverpool membayar £25 juta (RM133 juta) membawa Lallana dari Southampton dan menawarkan kontrak baru pada Februari 2017.

Setakat ini, Liverpool melanjutkan kontrak pemain utamanya yang hampir tamat kontrak kecuali Lallana dan Georginio Wijnaldum yang mempunyai baki 18 bulan daripada kontrak lima tahun ketika berpindah dari Newcastle.

Lallana tampil dalam 13 aksi Liga Perdana bersama Reds musim ini dan menjaringkan satu gol ketika menentang Manchester United dalam aksi liga di Old Trafford pada Oktober lalu.

Pada 2016 Lallana dipilih Pemain Terbaik Tahunan England mengatasi Jamie Vardy (kedua ) dan Wayne Rooney (ketiga).

All copyrights for this article are reserved to Metro