TEMPAT penyerang negara, Safawi Rasid bukan di Liga Malaysia (Liga M) sebaliknya beraksi di liga Eropah.

Demikian pandangan legenda dan bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp yang mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri berbisa.

Redknapp, 47, yang mencatat 237 penampilan bersama The Reds dari 1991-2002 menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dengan pemain Harimau Malaya itu hanya memerlukan individu tepat bagi membuka jalan buatnya beraksi di sana.

Malah, beliau menyarankan supaya Safawi memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino yang berani mencabar diri untuk mencuba nasib bersama Red Bull Salzburg di liga Austria sebelum dilamar juara Eropah, Liverpool Disember lalu.

“Sebelum saya datang ke Malaysia untuk menjadi tetamu dalam pelancaran Cadbury FC ini, anak saya membuka YouTube dan aksi pemain nombor 11 (Safawi) memikat hati saya.

“Dia berani menggelecek dan mempunyai sepakan percuma kaki kiri berkualiti dan terus terang, dia seorang pemain yang memikat mata saya. Saya rasa dia perlukan sedikit tuah seperti Minamino yang ke Liverpool. Dia juga perlu berani selain berusaha keras dan agresif dengan melihat lebih banyak perlawanan liga luar seperti EPL (Liga Perdana Inggeris).

“Apapun, dia ada kelebihan unik kaki kiri seperti mana Mohamed Salah. Kuncinya berani mencabar diri ke luar negara kerana dia masih muda dan bertenaga,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Cadbury FC musim ketiga dengan penampilan eksklusif Redknapp dan trofi EPL di Malaysia, di sini, semalam.

Minggu lalu, kebolehan Safawi turut diiktiraf sebuah laman sosial bola sepak antarabangsa iaitu Trekker yang menyenaraikan pemain JDT itu sebagai bintang masa depan atau ‘future wonderkid’ bersama bintang muda lain dari seluruh dunia.

Turut disenaraikan penyerang Perancis, Kylian Mbappe; pemain Barcelona, Frenkie De jong; pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan tonggak tengah Chelsea, Christian Pulisic.

Sementara itu, mengulas mengenai pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menggunakan pemain naturalisasi bagi menguatkan skuad kebangsaan, Redknapp melihatnya secara positif yang mampu meningkatkan kualiti pasukan.

“Kita kena lihat ia dari sudut pandang yang luas. Sekiranya kehadiran pemain naturalisasi boleh meningkatkan pasukan serta menaikkan persaingan antara pemain tempatan dan luar, apa salahnya dan Safawi adalah contoh di mana dia boleh bersaing mencuri tempat dengan pemain naturalisasi,” kata bekas pemain England itu.

Kelmarin, FAM mengesahkan Liridon Krasniqi sudah menerima taraf kewarganegaraan dan semakin hampir untuk bergelar pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh yang beraksi buat Harimau Malaya sejak dua tahun lalu.

All copyrights for this article are reserved to Metro