London: Leicester mara ke tangga kedua Liga Perdana selepas menang besar 4-1 di Leeds manakala Fulham menewaskan West Bromwich Albion 2-0 untuk kemenangan pertama mereka musim ini.

Skuad Brendan Rodgers hanya satu mata di belakang pendahulu Liverpool selepas menang lima daripada tujuh perlawanan pertama sekali gus permulaan musim terbaik Leicester dalam sejarah saingan liga utama Inggeris.

Harvey Barnes dan Youri Tielemans meletakkan Leicester di hadapan sebelum rehat di Elland Road.

Stuart Dallas merapatkan jurang buat Leeds tetapi jaringan kelapan Jamie Vardy musim ini disusuli penalti Tielemans melengkapkan kemenangan keempat berturut-turut Leicester di tempat lawan.

Selepas kecewa gagal layak ke Liga Juara-Juara musim lalu, Leicester sekali lagi membuktikan kemampuan mencabar kelompok empat teratas malah boleh mengimpikan gelaran liga selepas mereka membelasah Manchester City 5-2.

“Kami cemerlang dari segi teknikal. Kami mempunyai kualiti dan tangkas memanfaat peluang,” kata Rodgers.

“Pasukan memiliki mentaliti hebat dengan ramai pemain muda yang ‘lapar’. Ia masih terlalu awal dan kebanyakan aksi kami di tempat lawan tetapi prestasi setakat ini cukup cemerlang.”

OLA Aina (kanan)  berpelukan dengan rakan sepasukan selepas tamat peralwanan di London. FOTO AFP  OLA Aina (kanan) berpelukan dengan rakan sepasukan selepas tamat peralwanan di London. FOTO AFP

Pengendali Leeds, Marcelo Bielsa pula berkata: “Pada babak 30 minit pertama, kami gagal bertahan dengan baik dan kurang mencipta peluang terbuka. Ini salah satu tugas utama pengurus untuk mengatasinya.”

Leicester bermula sempurna pada minit ketiga apabila hantaran lemah ke belakang oleh Robin Koch dipintas Vardy yang memperdayakan penjaga gol Illan Meslier sebelum melorongkan bola kepada Barnes untuk ditolak masuk ke gawang kosong pada minit ke-21.

Pelawat tidak menunggu masa lama untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-21 apabila hantaran lintang Marc Albrighton ditanduk Vardy namun ditepis Meslier dan Tielemans pantas memanfaatkan bola muntah dari jarak dekat.

Dallas merapatkan jurang buat Leeds pada minit ke-47 apabila bola lambungannya melepasi beberapa pemain dengan penjaga gol, Schmeichel tidak dapat berbuat apa-apa.

Leeds terus mengasak dan Pablo Hernandez hampir menyamakan kedudukan namun rembatan lencungnya sedikit tersasar.

Tetapi serangan pantas Leicester pada minit ke-76 menyaksikan Vardy meledak gol ketiga selepas mendapat hantaran Cengiz Under dan pemain Belgium, Tielemans menjaringkan gol keempat menerusi penalti selepas Mateusz Klich mengasari Maddison.

Di Craven Cottage, Fulham mengelak permulaan musim terburuk mereka sejak 1951 hasil jaringan babak pertama Bobby Decordova-Reid dan Ola Aina.

Skuad Scott Parker berhak menamatkan kemarau kemenangan dalam enam pelawanan termasuk lima kekalahan sejak mara ke liga utama daripada Championship musim lalu.

Cottagers tewas semua tiga aksi di tempat sendiri musim ini tetapi kemenangan pertama itu melonjakkan mereka daripada zon penyingkiran.

West Brom pula masih memburu kemenangan pertama sejak layak semula ke liga utama musim lalu.

Dengan hanya tiga mata daripada tujuh aksi pembukaan liga, ia permulaan musim terburuk West Brom sejak 1985-86 dengan gagal menang dalam mana-mana tujuh perlawanan itu sejak 2004-05.

All copyrights for this article are reserved to Metro