EMPAT pemain Sampdoria dan seorang dari Fiorentina disahkan positif koronavirus, menurut kelab Itali terbabit, awal pagi tadi.

Pertahanan Gambia, Omar Colley dan pemain tengah Sweden, Albin Ekdal, Morten Thorsby dari Norway dan bekas kapten Bawah 21 Itali, Antonio La Gumina serta rakan sepasukan, Manolo Gabbiadini kesemuanya dijangkiti Covid-19.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan mereka baik dan berada di rumah di Genoa,” kata kenyataan kelab.

Bekas penyerang Southampton, Gabbiadani disahkan dijangkiti virus itu, Khamis lalu dan doktor kelab, Amedeo Baldari turut diuji positif.

Penyerang Fiorentina dari Serbia, Dusan Vlahovic menjadi pemain kelima disahkan positif, semalam.

Sebelum ini, pemain Juventus, Daniele Rugani turut mengalami nasib sama tetapi dalam Instagramnya pada Rabu lalu, dia berkata kesihatannya bertambah baik.

Serie A dan acara sukan di Itali digantung sehingga 3 April selepas negara itu paling terjejas teruk serangan wabak koronavirus di Eropah.

All copyrights for this article are reserved to Metro