JUARA Grand Slam lima kali Maria Sharapova menyifatkan Kejohanan Brisbane seperti ‘acara kelas kedua’ apabila pemain wanita diminta bermain di gelanggang luar bagi membolehkan pemain lelaki beraksi dalam edisi sulung Piala ATP.

Kejohanan WTA itu diadakan serentak dengan peringkat Brisbane dalam kejohanan baru berpasukan lelaki yang mengambil alih gelanggang utama di Pusat Tenis Queensland.

Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat Sloane Stephens mengecam penganjur hari ini, mendakwa mereka memberi kelebihan kepada pemain lelaki dan tidak menghormati wanita, dan perkara ini turut dipersetujui Maria.

“Anda tahu dan menyedarinya,” kata Maria, malah pemain nombor satu dunia dari Australia Ashleigh Barty, yang amat popular di Brisbane juga terpaksa beraksi di gelanggang luar.

“Ia terasa seperti kejohanan kelas kedua.”

Perlawanan terakhir round-robin bagi Piala ATP di Brisbane berlansung hari ini, bermakna pemain wanita hanya boleh bermain di gelanggang utama mulai esok.

All copyrights for this article are reserved to Metro