AARON Chia mengakui kurang senang dengan undian pada Masters Malaysia yang menyaksikan dirinya serta rakan segandingan, Soh Wooi Yik bakal berdepan rakan senegara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di pusingan pertama.

Jelas Aaron, situasi tu bukan kali pertama berlaku, sebaliknya dia serta Wooi Yik sering mengalami pengalaman sama beberapa kali sebelum ini apabila terpaksa bertemu rakan senegara.

“Saya pun tak faham sebab sejak kebelakangan ini undian akan bertemu rakan senegara.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya kerana undian dilakukan oleh BWF (Persekutuan Badminton Dunia).

“Kami cuma berharap BWF boleh meneliti perkara ini untuk melakukan proses undian yang lebih adil.

Kadang-kadang apabila kami beraksi di luar negara pun akan bertemu lawan senegara juga,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan menjelang Masters Malaysia.

Sekiranya melepasi pusingan pertama, Aaron-Wooi Yik yang juga naib juara Seluruh England tahun lalu bakal berdepan tugas getir bertemu pilihan pertama dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di pusingan kedua.

Sementara itu, Aaron berkata, dia serta Wooi Yik akan kekal fokus untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Bagi saya semua kejohanan termasuk Masters Malaysia amat penting untuk mengumpul mata.

“Kami perlu konsisten dan jika boleh sekurang-kurangnya mara ke suku akhir bagi setiap kejohanan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro