KELANTAN boleh menarik nafas lega apabila badi pemotongan mata awal musim melekat pula kepada PDRM apabila pasukan ‘The Cops’ bermula saingan Liga Super dengan defisit tiga mata.

Hukuman yang dikenakan pendatang baharu Liga Super itu susulan kegagalan menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain sebaik tempoh 31 Januari tamat.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam yang turut mengesahkan Melaka United (MU) dan Kelantan pula terlepas daripada hukuman itu selepas berjaya melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai terbabit.

“FAM akan berkomunikasi dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata (ke atas PDRM),” kata Stuart.

“Selain itu, seperti mana yang sudah dinyatakan dalam surat yang sama bertarikh 15 Januari 2020, PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020.

“Jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam mata lagi. FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, Stuart berkata, FAM memuji usaha dan kesungguhan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kerana berjaya menyelesaikan isu tunggakan gaji dalam tempoh dua minggu yang diberikan badan induk itu.

“Sebagai contoh, Melaka pada awalnya mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM2.7 juta tetapi dalam tempoh berkenaan berjaya membayar sebanyak RM2.1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

“Kelantan pula, daripada jumlah awal tunggakan gaji berjumlah RM1.6 juta, mereka berjaya membayar sebanyak RM1 juta dan membuat persetujuan pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro