ARKITEK Terengganu FC II (TFC II), Dechi Marcel N’Guessan akui tidak sabar dan rindu ke padang untuk beraksi selepas lebih dua bulan ‘berkurung’ di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik Covid-19.

Namun pada masa yang sama pemain kelahiran Ivory Coast yang pernah beraksi dengan bekas penyerang Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche bersama kelab Jeunesse Abidjan di negaranya akui bimbang akan keselamatan keluarganya di negara berkenaan.

Anak kedua daripada lima beradik itu bagaimanapun lega kerana ibu bapa serta adik-beradiknya bebas daripada sebarang jangkitan pandemik itu yang mencetuskan kebimbangan dunia.

“Apa yang penting kita perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memastikan rantaian virus Covid-19 ini dapat diputuskan.

“Berkaitan liga pula, jika tanya memang saya sangat teruja serta tidak sabar untuk kembali beraksi di padang seperti biasa selepas begitu lama berehat.

“Lagipun skuad kami bermula dengan agak baik pada awal liga dengan mendahului pasukan lain, malah dalam setiap perlawanan corak permainan kami juga semakin baik dan pemain begitu fokus untuk mendapat kemenangan kerana sasaran kami musim ini adalah untuk muncul juara liga.

“Jadi kami perlu terus kekal cergas dan bersedia meneruskan rentak cemerlang kami lebih-lebih lagi selepas Piala Cabaran yang pernah pasukan kami rangkul pada edisi pertama dua tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan pandemik itu.

“Tapi besar harapan kami agar Liga Perdana yang dicadangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada September ini dapat kembali disambung semula walaupun hanya membabitkan pusingan pertama sahaja.

All copyrights for this article are reserved to Metro