DUA jaringan Dimitri Payet dan Nemanja Radonjic membantu Olympique de Marseille menewaskan St Etienne 2-0 awal pagi tadi sekali gus melonjak enam mata di tangga kedua Ligue 1.

Payet menembusi gawang lawan pada minit ketujuh dan Radonjic menggandakan jaringan lima minit sebelum tamat perlawanan membolehkan Marseille meraih 46 mata daripada 23 perlawanan, 12 mata di belakang pendahulu Paris St Germain tetapi enam mata di belakang pasukan tangga ketiga, Stade Rennais.

Perlawanan bermula lewat 15 minit selepas sesi pemanas badan pemain terjejas angkara gas pemedih mata dilepaskan polis yang menyuraikan pertempuran penyokong di luar stadium.

Bagaimanapun, Marseille bermula garang dan Payet menewaskan penjaga gol tuan rumah, Stephane Ruffier menerusi percubaan di luar kotak penalti dan Radonjic mengesahkan kemenangan pada minit ke-85 hasil rembatan rendah.

St Etienne kini di tangga ke-15 dengan 28 mata.

Dalam perlawanan lain, harapan Olympique Lyon meraih slot Liga Juara-Juara musim depan terjejas selepas hanya mampu seri tanpa jaringan dengan kelab bawahan, Amiens.

Skuad Rudi Garcia kini di tangga keenam dengan 33 mata, tujuh mata di belakang Rennes.

All copyrights for this article are reserved to Metro