NEMANJA Matic mahu terus kekal di Manchester United dan sedia menolak tawaran kelab lain jika ditawarkan lanjutan kontrak.

Pemain tengah Serbia itu boleh meninggalkan Old Trafford secara percuma pada akhir musim ini jika United memutuskan untuk tidak memperbaharui perjanjian.

Pemain berusia 31 tahun itu membarisi kesebelasan utama dalam enam perlawanan terakhir termasuk menjaringkan gol tunggal pada perlawanan separuh akhir Piala Liga ketika menentang ke atas Manchester City semalam sebelum dibuang padang kerana dua kad kuning.

Pep Guardiola melabel Matic sebagai “cemerlang” selepas perlawanan itu dan bekas tonggak Chelsea berkenaan berharap akan meraih ganjarannya selepas mengembalikan prestasi sebenar.

“Kontrak saya berakhir hingga hujung musim ini,” katanya.

“Saya berada di Carrington pada setiap hari dan bersikap terbuka untuk membincangkannya jika mereka fikir saya boleh membantu. Jika tidak, hidup perlu diteruskan.

“Masih tiada perbincangan yang berlaku tetapi kedudukan saya adalah jelas.

“Saya gembira untuk mewakili kelab ini, saya datang ke mari untuk menang dan jika mereka mahu saya kekal, tentu saja saya akan memberikan yang terbaik untuk memenangi trofi.”

All copyrights for this article are reserved to Metro