MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan kesemua empat mangsa termasuk pemain perseorangan nombor satu dunia, Kento Momota berada dalam keadaan stabil selepas terbabit dengan kemalangan hari ini.

Justeru beliau menafikan khabar angin yang menyatakan Momota cedera parah.

“Selepas mendapat penerangan daripada doktor, kesemua empat mangsa berada dalam proses pemulihan yang positif.

“Pihak hospital akan memastikan kesemua mereka diberi rawatan yang rapi. Saya menafikan Momota berada dalam keadaan parah,” katanya selepas melawat kesemua mangsa hari ini.

Syed Saddiq bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Momota di Hospital Putrajaya. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

Hanya Momota berstatus pemain dalam kejadian itu. Tiga yang lain ialah Pegawai Teknikal Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Wiliams Thomas; pembantu jurulatih Persatuan Badminton Jepun (JBA), Yu Hirayama dan pegawai fisioterapi JBA, Akifumi Morimoto.

Manakala pemandu van yang juga lelaki tempatan dikenali sebagai N Bavan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

Kejadian itu berlaku awal pagi tadi selepas van berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Serdang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, kesemua empat mangsa termasuk Momota akan ditahan di Hospital Putrajaya untuk rawatan susulan.

All copyrights for this article are reserved to Metro