TOTTENHAM Hotspur memerlukan jaringan penyamaan Lucas Moura untuk mengelak daripada mengalami kekalahan pusingan ketiga Piala FA kepada kelab divisyen dua, Middlesbrough ketika Jose Mourinho bergelut mencatat keputusan seri 1-1, malam tadi.

Juara lapan kali itu ketinggalan kepada jaringan kemas Ashley Fletcher selepas waktu rehat tetapi tandukan Moura memastikan Tottenham masih terus bernafas biarpun beraksi tanpa penyerang Harry Kane akibat kecederaan.

Tottenham menguasai perlawanan berikutan jaringan penyamaan Moura tetapi penjaga gol Boro Tomas Mejias yang membuat penampilan pertama musim ini jelas mengecewakan mereka apabila menyelamatkan beberapa percubaan kelab London itu untuk membawa aksi ke perlawanan ulangan.

Dalam satu perlawanan lagi, skuad Chelsea yang melalui beberapa rombakan mara ke peringkat pusingan keempat selepas menang selesa 2-0 ke atas Nottingham Forest.

Callum Hudson-Odoi meraikan jaringan menentang Forest. FOTO REUTERS

Mereka menewaskan lawan sama pada peringkat yang sama pada saingan sama musim lalu.

Callum Hudson-Odoi dan Ross Barkley meledak jaringan untuk Chelsea yang juga pemenang lapan kali pada separuh masa pertama.

Bekas penyerang Manchester United dan England Wayne Rooney membuat kejutan membantu kelab Liga Kejuaraan Derby County menang 1-0 menyingkirkan kelab Liga Perdana, Crystal Palace.

Satu lagi kelab Liga Perdana, Sheffield United terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi kelab kerdil AFC Fylde dengan kemenangan 2-1.

All copyrights for this article are reserved to Metro