SUASANA di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, lengang hari ini dengan kebanyakan atlet tidak lagi meneruskan latihan selepas seorang atlet negara, Jackie Wong didapati sah positif Covid-19.

Jackie yang juga atlet tukul besi dipercayai dijangkiti menerusi ayahnya yang sebelum ini disahkan positif Covid-19 dengan kedua-duanya ketika ini sedang menjalani proses dikuarantin di Hospital Sibu.

Tinjauan Arena Metro mendapati keadaan sekitar lokasi di pusat latihan olahraga Institut Sukan Negara (ISN), gimnasium 2 MSN dan lapangan memanah dilihat ‘kosong’ tanpa kelibat atlet menjalani latihan.

Malah, turut kelihatan beberapa atlet mengangkut barang peribadi seperti pakaian dan buku-buku untuk di bawa pulang selepas latihan dibatalkan oleh pengurusan pasukan masing-masing.

Keadaan sekitar kompleks latihan olahraga MSN. FOTO Firdaus HashimKeadaan sekitar kompleks latihan olahraga MSN. FOTO Firdaus Hashim

Seorang atlet yang enggan namanya disiarkan berkata, ibu bapanya datang ke MSN hari ini bagi mengangkut barangan peribadi sebelum pulang ke selatan tanah air menjelang petang ini.

“Pagi tadi tak banyak latihan yang diadakan dengan sebahagian besar atlet tak berlatih. Tapi ada juga yang turun berlatih atas arahan jurulatih dan pengurus pasukan.

“Saya kemungkinan akan balik sebab latihan ditangguhkan. Mungkin petang ini kerana sedang menunggu hitam putih daripada pentadbiran (MSN),” katanya ketika ditemui di perkarangan kediaman MSN, hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan Jackie menjadi atlet pertama didapati positif Covid-19 sekali gus menyaksikan menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil tindakan drastik dengan mengarahkan supaya fasiliti MSN dan ISN ditutup serta merta.

Tindakan segera itu bertujuan untuk memberi laluan kepada proses pembasmian atau sanitasi yang sepenuhnya di semua kawasan pentadbiran dan pusat latihan kompleks sukan negara itu sebagai langkah keselamatan dan kesihatan.

All copyrights for this article are reserved to Metro