PEMAIN nombor satu dunia, Rafael Nadal mempamer aksi meyakinkan apabila melakar kemenangan 6-2, 6-1 ke atas Pablo Cuevas pada saingan Piala ATP dalam usahanya mencari rentak terbaik untuk persediaan ke Terbuka Australia.

Pemenang 19 gelaran Grand Slam itu nyata tidak berdepan masalah menewaskan lawannya yang menduduki ranking ke-45 dunia sekali gus memberi kemenangan kepada Sepanyol ke atas Uruguay selepas Roberto Bautista Agut menewaskan Franco Roncadelli 6-1, 6-2.

Sepanyol akan bertemu Jepun pada Rabu ini dengan pemenang akan layak beraksi di pusingan kalah mati di Sydney manakala pasukan yang tewas akan bergantung kepada keputusan daripada perlawanan lain.

Cuevas pernah menewaskan Nadal di Rio empat tahun lalu namun gagal mempamer aksi sama hari ini.

“Saya beraksi baik berbanding sebelum ini dan ia adalah kemenangan yang amat positif bertemu lawan yang amat saya hormati,” kata Nadal.

Dia menerima sokongan padu daripada penonton yang menyaksikan perlawanan di stadium.

“Ia meningkatkan semangat saya apabila beraksi di atas gelanggang di depan penyokong yang hebat dan mahu membuktikan sesuatu,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro