BUKAN hanya mahu meraih kejuaraan di tempat sendiri, gandingan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying sebolehnya mahu kekal konsisten selepas mara ke separuh akhir Masters Malaysia hari ini.

Menurut Peng Soon, mereka memang berasa sangat lega kerana berjaya melepasi halangan suku akhir dan bertekad melakukan perkara sama di Masters Indonesia sekali gus menjamin tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kalau boleh bermula Januari lagi (kedudukan terjamin ke Olimpik). Jadi kami harus mara ke separuh akhir di Masters Malaysia dan Indonesia (minggu depan) ataupun lebih dari itu,” katanya selepas menumpaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 21-15, 21-18 di Arena Axiata hari ini.

Pilihan keenam Masters Malaysia itu juga sangat berharap dapat mempamerkan prestasi cemerlang di Seluruh England tahun ini dan semuanya adalah untuk kelayakan Olimpik. Sementara itu, satu lagi pasangan campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai terkandas selepas kalah 11-21, 9-21 kepada pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

All copyrights for this article are reserved to Metro