SELEPAS 10 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, bekas penyerang Terengganu, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi akhirnya nekad untuk menggantung but pada musim ini walaupun masih mendapat tawaran beraksi.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala FAM 2018 ketika mewakili Terengganu City FC (TCFC) itu berkata, biarpun masih merindui untuk beraksi namun disebabkan beberapa faktor termasuk tunggakan gajinya bersama pasukan TCFC, menyebabkan dia nekad untuk bersara lebih awal.

Ramadhan berkata, berikutan itu dia memilih kerjaya sebagai pemandu lori mengangkut buah kelapa sawit di sekitar kampungnya di Setiu serta Jerteh dan Kuala Berang.

Pemain berusia 32 tahun juga akui sudah ‘jatuh cinta’ dengan pekerjaan baharunya itu walaupun terpaksa melupakan sukan yang digemarinya itu sejak dibangku sekolah lagi.

“Sepatutnya saya beraksi dengan sebuah pasukan daripada Liga M3 musim ini, semua proses sudah selesai tapi pada saat akhir sebelum menandatangani kontrak, saya mengambil keputusan untuk gantung but.

“Keputusan ini memang berat apatah lagi kerjaya bola sepak ini adalah periuk nasi saya untuk menyara keluarga, lebih-lebih lagi ketika itu Isteri, Mawardah Khalid sedang mengandung anak kedua.

“Namun disebabkan kecewa dengan bekas majikan yang sehingga kini belum lagi melunaskan tunggakan gaji sejak 2018 selain tidak dapat merasai nikmat sebenar sebagai juara Piala FAM kerana juga belum dapat bonus kemenangan, saya tiada pilihan melainkan nekad untuk bersara pada tahun 2020 ini.

“Kini dengan pekerjaan baharu sebagai pemandu lori walaupun agak janggal menceburi bidang ini, tapi sekurang-kurangnya saya lega kerana bekerja sendiri, lagipun lori berkenaan hak milik saya.

“Saya mula melakukan pekerjaan ini sejak dua minggu sebelum ketibaan Ramadan dan kerja ini bergantung kepada jumlah buah kelapa sawit, adakalanya lima kali seminggu angkut buah,” kata Ramadhan yang juga mampu beraksi di posisi bek dan sayap kiri.

Sepanjang pembabitannya, Ramadhan memulakan karier profesionalnya dengan menyarung jersi Perlis diikuti Terengganu, PKNS FC, TCFC FC dan terakhir membantu Kelantan United meraih juarai Piala FAM musim lalu.

“Antara pencapaian terbaik selain Piala FAM ialah membantu Terengganu mara ke separuh akhir Piala FA, naib juara Piala FA dan naib juara Liga Perdana ketika menyarung jersi PKNS,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro