PELUMBA negara, Mohd Zaqhwan Zaidi mengakui Ramadan kali ini memberi perubahan 360 darjah kepadanya terutama selepas mendirikan rumah tangga bersama orang tersayang, Disember lalu.

Jika tahun-tahun sebelum ini dia hanya berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan, namun kali ini pelumba yang beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing With SHOWA itu ditemani isteri, Nurul Fazlin Abdullah di sisinya.

Bukan itu saja, juadah berbuka juga lebih istimewa kerana ia adalah hasil tangan isteri serta ibunya.

“Memang tak dinafikan untuk Ramadan kali ini, saya dapat menghabiskan banyak masa bersama keluarga dan isteri. Lebih-lebih lagi apabila kita semua sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ZAQHWAN bersama Nurul Fazlin ketika berlangsung perlumbaan.ZAQHWAN bersama Nurul Fazlin ketika berlangsung perlumbaan.

“Isteri saya suka buat kuih muih dan kadang-kadang saya pun ada membantunya di dapur. Oleh kerana PKPB, jadi tak dapatlah nak membeli juadah berbuka dan kebanyakannya disediakan sendiri,” katanya yang tinggal bersama keluarga selepas mendirikan rumah tangga.

Zaqhwan berkata, sebelum ini masanya di bulan Ramadan lebih banyak di negara orang terutama di Jepun apabila dia turut menyertai perlumbaan All Japan selain ARRC.

“Saya pernah berpuasa di negara orang selama beberapa tahun kerana komitmen sebagai pelumba. Tahun lalu saja dapat berbuka bersama keluarga tapi tahun ini lebih bermakna kerana dapat bersama isteri.

“Jadi kali ini dengan semua perlumbaan ditangguhkan, saya mahu memanfaatkan peluang yang ada bersama keluarga dan isteri,” katanya.

Dengan belum ada sebarang kepastian bilakah perlumbaan ARRC dan All Japan akan dilangsungkan semula berikutan pandemik Covid-19 ketika ini, Zaqhwan berkata dia hanya mengekalkan tahap kecergasan terutama ketika Ramadan.

“Jadual latihan saya sedikit berubah. Jika sebelum ini saya banyak melakukan latihan fizikal pada waktu siang, tetapi saya mengubahnya kepada waktu malam sepanjang Ramadan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro