PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff semakin menonjol di pentas perlumbaan Jelajah Asia apabila meraih jersi Raja Pecut di Cambodia Bay Cycling Tour yang berakhir, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun berkenaan mengumpul 28 mata untuk dinobatkan sebagai juara jersi hijau selain di kedudukan kedua kategori keseluruhan di belakang pelumba Laos, Ariya Phounsavath, ketinggalan dua minit 19 saat.

Ia adalah jersi kedua Nur Aiman selepas meraih jersi pelumba muda terbaik di Tour de Selangor (TdS) 2019 pada bulan lalu.

Menurut Principal TSC, Mohd Sayuti Zahit, pelumba berkenaan menunjukkan peningkatan prestasi sejak menyertai mereka pada 2018.

“Kita berharap momentum ini berterusan untuk perlumbaan New Zealand Classic dan Le Tour de Langkawi nanti,” katanya.

Sementara itu jersi putih bagi pelumba muda terbaik diraih Muhammad Nurfitri Ammar Rosli dari JDT Cycling Team yang mengumpul 12.05:44s.

Perlumbaan edisi pertama di Kemboja berkenaan adalah berstatus 2.2 dalam kalendar Jelajah Asia mempertandingkan tiga peringkat membabitkan 14 pasukan.

All copyrights for this article are reserved to Metro