SEPATUTNYA tahun ini, penerjun negara Syafiq Puteh sibuk dengan latihan dan kejohanan yang menawarkan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun semuanya seakan kelam bukan saja kepada dirinya malah atlet di seluruh dunia di sebabkan pandemik Covid-19.

Bukan saja tidak dapat menyertai kejohanan antarabangsa tapi tidak dapat berlatih seperti biasa mahupun di China atau Malaysia.

Bagaimanapun, selepas difikirkan semula semuanya ada hikmah tersendiri di sebalik apa yang berlaku buat penerjun berusia 25 tahun itu.

“Ramadan kali ini betul-betul lain dari sebelumnya. Bagaimanapun, saya tetap melakukan latihan sendiri di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tapi bila saya fikir semula semua ini mempunyai rahmat tersendiri, tiba-tiba saya mempunyai masa yang lebih lama di samping keluarga, isteri saya pula sarat mengandung anak sulung kami.

“Selepas itu anak kami pula lahir di bulan yang mulia ini. Satu rahmat dan hikmah yang tidak terhingga buat kami sekeluarga,” kata pemenang pingat Grand Prix Fina dan Piala Asia itu.

Penerjun kelahiran Perak itu mengakui seminggu sebelum isterinya, Norashikin Azman melahirkan cahaya mata, dia tidak berlatih selama seminggu.

SYAFIQ intai tiket ke Olimpik Tokyo.SYAFIQ intai tiket ke Olimpik Tokyo.

“Memang saya rasa kelahiran Nuraisyah Zulaikha (minggu lalu) adalah satu rahmat bagi kami. Alhamdulillah. Sebelum anak pertama saya lahir, memang berasa sedikit takut, risau keselamatan isteri dan anak.

“Dua hari juga saya tidak tidur lena, risau punya pasal. Akhir sekali alhamdulillah semuanya dipermudahkan, maka lahirlah puteri sulung saya seberat 3.5 kilogram. Rasa bersyukur sangat.

“Dalam masa sama saya juga serabut kerana tinggalkan latihan, tapi saya perlu selesaikan satu demi satu. Mungkin ini masa untuk saya bersama mereka,” katanya.

Selepas selesai majlis aqiqah kelmarin, Syafiq berazam untuk kembali fokus kepada latihan dan kejohanan.

“Langkah pertama untuk saya mungkin akan ada kejohanan mini bagi merebut tempat ke Piala Dunia tahun depan, yang juga menawarkan tiket ke Olimpik,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro