NYANYIAN ‘Kedah Pantang Kalah’ dan ‘Berjuang Sejiwa Murni’ bakal mengiringi skuad Kedah untuk memburu kemenangan dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bertemu FC Seoul di Stadium Seoul World Cup pada 28 Januari ini.

Kemenangan Kedah pada peringkat kedua menewaskan Tai Po FC 5-1 Selasa lalu membangkitkan lagi semangat Kedah bersaing merebut tempat bersama 24 lagi pasukan setakat ini yang sudah layak dalam lapan kumpulan untuk saingan peringkat kumpulan ACL musim 2020 ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris dilaman Facebooknya hari ini meluahkan rasa bangga dengan pencapaian skuad Lang Merah layak ke peringkat ketiga berdepan FC Seoul dalam misi ke peringkat kumpulan.

“Mengingatkan laungan ‘Kedah Pantang Kalah’ akan menimbulkan keyakinan buat pasukan kita dan tentunya slogan ‘Berjuang Sejiwa Murni’ juga akan membuatkan kita berjuang bersungguh-sungguh untuk menggangkat nama skuad Jelapang Padi.

“Ketika menang kami gembira, ketika kalah kami setia..” itu kata-kata keramat penyokong Kedah sejak zaman berzaman. Siapalah yang tidak bangga apabila pasukan yang dikasihi mencapai kemenangan. Begitu juga kami.”

“Bangga..gembira..suka dan duka adalah lumrah kehidupan. Pun begitu saya tidak dapat menyembunyikan perasan hati, resah menanti sepak mula bakal beraksi menentang FC Seoul pada 28 Januari 2020 di Korea Selatan.

“Hanya selangkah lagi untuk Kedah berada di dalam kelompok pasukan terbaik di Asia dan jika menang pada malam itu, kita akan bermain dalam peringkat kumpulan,” katanya.

Asmirul juga berharap semua penyokong dan warga Kedah mendoakan impian skuad Lang Merah untuk mencapai kemenangan di Korea Selatan nanti menjadi kenyataan.

“Bersama impian dan doa seluruh rakyat Kedah, InsyaAllah.. moga-moga kita akan beroleh kejayaan.. Aminn Ya Rabbuna..!”.

All copyrights for this article are reserved to Metro