PENYANDANG juara Terbuka Australia, Naomi Osaka berjaya bangkit dari kelesuan pertengahan aksi untuk berdepan pemain sedang meningkat naik berusia 15 tahun, Coco Gauff di pusingan ketiga.

Pemain pilihan ketiga dari Jepun itu berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran Melbourne yang bertambah baik untuk menumpaskan wakil China, Zheng Saisai 6-2, 6-4.

Gauff, yang sebelum ini mengejutkan rakan senegara juara tujuh kali Grand Slam, Venus Williams, berjaya menumpaskan wakil Romania, Sorana Cirstea 4-6, 6-3, 7-5 di pusingan kedua hari ini.

Bagaimanapun, Osaka yang berusia 22 tahun tidak dapat mengawal kemarahan apabila Zheng berjaya mematahkan servisnya pada set kedua, apabila dia menghentak raketnya ke lantai

Juara dua kali Grand Slam itu juga dilihat melempar bola dan membaling raketnya ke udara, serta menutup mukanya dengan tuala.

“Saya hanya mahu memberi saingan, saya pernah melalui situasi ini di dalam gelanggang (tertekan di set kedua) dan saya hanya fikirkan tidak mahu beraksi di set ketiga,” kata Osaka.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sedar bahawa status selaku penyandang juara menyebabkan ramai pemain mahu menumpaskannya.

“Saya tidak mahu memikirkan mengenai status selepas kejohanan (tahun lalu),” kata Osaka.

Pemain yang mempunyai keupayaan melakukan pukulan deras itu berjaya mematahkan servis lawannya pada awal saingan, sebelum Zheng kembali membalasnya.

Bagaimanapun, Zheng agak bergelut dengan servisnya selepas melakukan dua kali ‘double faults’ ketika ketinggalan 2-4

Osaka menamatkan aksi di set pertama dalam tempoh 34 minit melalui pukulan derasnya.

Selepas bergelut dengan servisnya di awal saingan set kedua, Osaka berjaya mematahkan servis lawan sebanyak dua kali, selain dibantu dengan kesilapan yang dilakukan Zheng.

All copyrights for this article are reserved to Metro