PEPĀ Guardiola ketepi tanda “genius” yang diberikan kepadanya oleh Carlo Ancelotti dan memberikan amaran bahawa skuad Everton kendalian pengurus kelahiran Itali itu bakal menguji Manchester City.

Selepas pengurus baru The Toffees memuji Guardiola dalam sidang media sebelum bertemu City di Stadium Etihad, Guardiola membalas pujian itu kepada Ancelotti — salah seorang jurulatih yang berjaya di Eropah.

City bangkit daripada kekalahan kepada Wolves dengan menewaskan Sheffield United 2-0 di laman sendiri dan berharap untuk meleburkan rekod cemerlang Ancelotti, malam ini.

“Everton adalah Everton, salah sebuah kelab yang penuh dengan tradisi serta bersejarah di England, ditambah pula dengan barisan pemain-pemain yang berkualiti,” kata Guardiola.

“Mereka mungkin bergelut musim ini tetapi kualiti itu tetap hadir dalam perlawanan, dengan kehadiran pengurus baru yang memiliki pengalaman yang luas.

“Pengurus seperti Ancelotti, salah seorang yang bijak dan mampu memastikan pasukannya menang dengan cara apa sekalipun.

“Saya sangat mengenali beliau dan pernah bertemu beberapa kali dalam perlawanan. Pasukannya sentiasa mengatasi pasukan kami. Beliau telah mengendali beberapa pasukan ternama dan berpengalaman di Eropah.

“Ia merupakan berita yang menarik buat bola sepak Inggeris apabila Ancelotti kembali ke England. Beliau mampu melakukan yang terbaik di Everton.”

Guardiola mengesahkan pertahanan John Stones serta perancang, David Silva cergas untuk turun berdepan Everton namun Guardiola mengambil langkah berjaga-jaga sebelum merisikokan pemain-pemainnya.

City berdepan Everton, Port Vale dan Manchester United dalam tujuh hari pertama bulan ini dan Guardiola berkata rehat yang pendek di antara perlawanan menyukarkan pasukannya untuk berada di tahap terbaik.

“Kami memiliki lima perlawanan dalam 12 hari. Sama seperti pasukan-pasukan lain.

“Kami akan cuba yang terbaik sama seperti perlawanan sebelum ini: 80 minit dengan 10 pemain ketika bertemu Wolves, kemudian berlatihan dua hari sebelum beraksi sekali lagi. Ia sangat berisiko tetapi kami perlu mengambilnya.”

All copyrights for this article are reserved to Awani