LEGENDA badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan patung lilinnya yang bakal dipamerkan di Madame Tussauds Hong Kong akan mengenakan jersi yang dipakainya ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

Menerusi status terbaru di akaun sosial Facebook miliknya, Chong Wei berkata, ketika ini patung lilin itu sedang dalam proses pembuatan.

“Ketika @madametussaudsHongKong sedang membuat klon patung lilin saya, saya ingin memberi sedikit gambaran kepada anda semua.

“Patung lilin saya akan mengenakan jersi yang saya pakai ketika beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.

“Ia sangat bermakna untuk saya. Saya gembira kerana ia akan diabadikan di Madame Tussauds Hong Kong. Perak ketiga dan terakhir saya,” katanya merujuk kepada pingat perak ketiga diraihnya pada temasya itu yang juga penampilan terakhir di Sukan Olimpik.

Madame Tussauds sebelum ini mengumumkan secara rasmi bahawa Chef-de-Mission Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu akan menjadi atlet pertama Malaysia memiliki ukiran patung lilin sendiri.

Ia dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada bulan depan atau Mac ini, sebelum diterbangkan ke Hong Kong.

All copyrights for this article are reserved to Metro