PEMAIN pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak menganggap perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga M) pada September ini akan membantu Harimau Malaya mendapatkan aksi kompetitif sebelum mengharungi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sebagai pemain, Aidil menghargai setiap usaha daripada semua pihak termasuk MFL yang terus mencari jalan terbaik agar Liga M tetap berjalan pada musim ini kerana mereka sememangnya perlu mendapatkan kembali momentum perlawanan secepat mungkin selepas lebih dua bulan tidak beraksi berikutan pandemik Covid-19.

“Sebelum ini pun saya ada baca komen daripada jurulatih (Tan Cheng Hoe ) yang mengatakan Liga-M memang akan membantu skuad kebangsaan untuk pasukan mendapatkan momentum terbaik selain kesan yang kami akan terima seandainya liga tidak dapat diteruskan.

“Jadi, apabila saya tengok pelbagai usaha yang dilakukan oleh ramai pihak termasuk MFL untuk kita teruskan juga liga, memang ia satu usaha yang bagus apatah lagi kepada kami sendiri sebagai pemain yang semestinya ingin terus beraksi.

“Walau bagaimanapun, kesihatan dan keselamatan masih perlu diutamakan dan saya juga sebagai pemain tidak boleh mementingkan diri sendiri dan banyak aspek yang perlu dilihat untuk memastikan liga terus berlangsung.

“Tak dinafikan, tempoh persediaan agak singkat, tetapi kalau ditakdirkan memang itu sahaja masa yang ada, kita harus fikirkan cara terbaik untuk memastikan persiapan pasukan tetap di tahap terbaik,” katanya.

Shahrul Saad. Shahrul Saad.

Sementara itu, pertahanan Perak, Shahrul Saad turut senada dengan Aidil apabila menyifatkan prestasi dalam liga domestik akan menentukan kedudukannya sama ada akan terus kekal atau tidak dalam skuad kebangsaan.

Meskipun Cheng Hoe pernah menyatakan perancangannya untuk mengekalkan sebahagian besar pemain utama dalam skuad negara, namun itu tidak akan menjamin tempat Shahrul untuk terus menjadi pilihan dan untuk itu, dia perlu membuktikan kemampuan dalam baki tujuh perlawanan liga yang dijangka bersambung selepas ini.

“Semuanya terpulang kepada Cheng Hoe untuk memilih pemain terbaik dalam pasukan bagi menyarung jersi kebangsaan kerana sudah pasti beliau inginkan yang terbaik untuk pasukan apatah lagi dalam situasi yang sukar ketika ini.

“Kali terakhir tahun lepas pada November, saya masih terpilih, tetapi tahun ini kita tidak tahu lagi macam mana dan saya tidak boleh terlalu selesa kerana semua pemain sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif.

“Sebab itulah, saya perlu pastikan tujuh perlawanan liga ini nanti akan menjadi penentu terbaik untuk saya tetap menjadi pilihan dalam skuad negara,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro