BEKAS anak didik Datuk Misbun Sidek, Roslin Hashim mengalu-alukan tugas baharu sifunya, sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan namun risau sekiranya permata baharu yang digilap tidak bercahaya apabila ke peringkat senior.

Menurutnya, beliau bersetuju Misbun diberikan peranan baharu itu kerana legenda perseorangan lelaki itu sangat berpotensi untuk melatih mana-mana peringkat sekali pun.

“Sebabnya beliau memang ada kelebihan, kalau latih budak kecil (kanak-kanak) pun akan jadi pandai. Itu kelebihan Misbun, cuma saya agak risau apabila pemain yang dilatihnya masuk ke peringkat senior, sama seperti masalah sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Roslin berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu pemain remaja negara memang berjaya melakar kejayaan tapi selepas melangkah ke peringkat senior tidak ada kesinambungan.

“Kenapa tidak peringkat senior? Kita mahukan kesinambungan. Senior paling atas selepas itu tidak akan ada lagi. Sekarang ini beliau menjaga remaja, memang bagus bukannya tidak bagus cuma isunya selepas peringkat remaja.

“Selepas naik ke peringkat elit atau senior apa pencapaian mereka. Sepatutnya kita pandang ke arah situ. Senior perlu kuat juga, kalau untuk tugas Misbun sekarang ini bukannya hendak cari seorang lagi pemain nombor satu dunia, tapi seorang lagi pemain nombor satu remaja dunia,” katanya.

Ditanya sama ada jurulatih perseorangan untuk pemain senior yang ada sekarang tidak bagus, Roslin tanpa berselindung mengakui perkara berkenaan.

“Secara jujur macam itu lah. Bukannya jurulatih yang ada sekarang baru satahun dua di sini. Sudah lama kenapa tidak ada pencapaian. Sampai bila benda seperti ini hendak salahkan pemain.

“BAM perlu lakukan sesuatu kepada pemain di peringkat senior. Jangan hanya pandang remaja saja. Memang Misbun jaga remaja sudah semestinya boleh lahirkan juara remaja dunia dan Asia, tidak mustahil, tapi masalah yang kita nampak jelas selepas mereka naik ke senior.” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro