JOSE Mourinho mengakui Tottenham bernasib baik selepas penalti lewat Son Heung-min memastikan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Southampton dalam aksi ulangan pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Skuad Mourinho ketinggalan ketika permainan berbaki 12 minit selepas mereka mempersiakan pendahuluan hasil jaringan sendiri Jack Stephens pada awal babak pertama.

Shane Long dan Danny Ings kembali mencemaskan tuan rumah apabila jaringan mereka meletakkan pelawat di depan di Stadium Tottenham Hotspur.

Tetapi Lucas Moura menyamakan kedudukan sebelum Son menyempurnakan penalti yang juga jaringan kemenangan ketika permainan berbaki dua minit.

“Secara jujurnya saya fikir pasukan yang lebih baik tewas tetapi pemain saya tak kenal putus asa dan berjuang sehingga minit akhir,” kata Mourinho.

“Kami sengsara tetapi kami berhak menang di atas usaha gigih kami. Southampton lebih segar daripada kami tetapi kami bermain dengan semangat, sepenuh hati dan memberikan segalanya.”

Tottenham yang kali terakhir menjuarai Piala FA 1991 bakal menerima kunjungan pasukan bergelut, Norwich pada pusingan kelima minggu pertama Mac.

All copyrights for this article are reserved to Metro