LIONEL Messi dinobatkan sebagai pemain bola sepak paling kaya mengalahkan seteru utama Cristiano Ronaldo.

Majalah France Football mengumpulkan senarai 10 pemain yang menerima gaji tertinggi pada 2019, dengan menyaksikan dua pemain terhebat menduduki ranking pertama dan kedua.

Messi berjaya mengumpul £120 juta (RM657 juta) tahun lalu, £11 juta (RM60 juta) melebihi Ronaldo yang menikmati tahun pertamanya di Juventus.

Kedua-dua pemain itu juga adalah pemain yang berjaya melepasi penanda aras melebihi £100 juta (RM548 juta).

Jurang antara mereka berdua dengan pemain di bawah terlalu jauh dengan menyaksikan bintang Paris Saint-Germain (PSG) mengumpul £87 juta (RM476 juta).

Sementara itu pemain Real Madrid, Gareth Bale tergelincir dengan hanya menerima £35.45 juta (RM194 juta).

Bagaimanapun, Bale berjaya memintas Antoine Griezmann untuk menduduki tangga keempat, selepas pemain antarabangsa Perancis itu kurang £200,000 (RM1.09) juta

Bintang Manchester City, Raheem Sterling adalah satu-satunya pemain dari Liga Perdana Inggeris (EPL) berada dalam ranking berkenaan dengan meraih pendapatan £30.96 juta (RM169 juta).

Paling mengejutkan berada dalam senarai berkenaan ialah Andres Iniesta.

Walaupun sudah meninggalkan Nou Camp untuk ke kelab Jepun, Vissel Kobe pada 2018, Iniesta masih lagi boleh menjana pendapatan tinggi iaitu £31.14 (RM170 juta) pada 2019.

France Football boleh menafikan Robert Lewandowski untuk anugerah Ballon d’Or tahun ini, namun mereka tidak boleh mengetepikan penyerang Bayern Munich itu dari segi pendapatan di mana ia mencecah £26.56 (RM145 juta).

Kylian Mbappe menyertai rakan sepasukannya Neymar untuk berada dalam senarai berkenaan, selepas memperoleh pendapatan £24.73 juta (RM135 juta) tahun lalu bagi melengkapkan kedudukan 10 terbaik.

All copyrights for this article are reserved to Metro