PENJAGA gol Australia, Mitchell Langerak diuji positif Covid-19, selepas pasukannya di Jepun, Nagoya Grampus mengesahkan perkara berkenaan, menjadikannya pemain kedua dijangkiti virus itu dalam Liga J.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang kali terakhir beraksi buat Socceroos pada 2017 tapi sentiasa mejadi pilihan kedua di belakang Matt Ryan, tidak menunjukkan sebarang simptom.

Penyerang Mu Kanazaki diuji positif virus berkenaan minggu lalu, sehingga mendorong pasukannya untuk menyiasat siapa yang bersentuhan dengannya.

Pemain dan staf melakukan saringan kelmarin dengan hanya Langerak dikesan positif daripada 26 individu.

“Kami cuba untuk mengesan mereka yang mengadakan kontak rapat bersama Langerak dengan bantuan daripada pusat kesihatan tempatan dan akan terus melakukan ujian Covid-19 ke atas pemain serta kakitangan lain,” kata kelab itu.

Saingan bola sepak profesional di Jepun akan disambung semula awal Julai tanpa kehadiran penonton selepas empat bulan ia ditanggukan akibat penularan wabak berkenaan.

Kali terakhir Langerak beraksi berada dalam skuad Socceroos adalah sebagai pemain gantian ketika mereka mencatat kemenangan 5-0 ke atas Oman Disember 2018.

All copyrights for this article are reserved to Metro