PETRONAS menyatakan komitmen untuk terus bersama menjadi tunjang kepada Le Tour de Langkawi (LTdL) sehingga 2021.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman berkata, sebagai penaja utama keutamaan PETRONAS untuk melihat perlumbaan itu kekal selaras dengan tujuannya membawa nilai cabaran kepada sasaran penajaan syarikat.

“Kami berharap ia akan terus berkembang dan menjadi sebahagian daripada perlumbaan penting yang menjadi platform utama melahirkan lebih ramai juara dunia berbasikal tempatan untuk mengangkat nama Malaysia sebagai hab sukan dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, PETRONAS menyatakan persetujuan sejak 1997 kerana berasakan ia satu perlumbaan unik yang boleh membawa nama konglomerat tenaga terkemuka negara itu merentasi sempadan dunia.

Sebagai contoh edisi ke-25, LTdL 2020 yang kini diiktiraf dalam kategori ProSeries oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), berjaya menarik pasukan terbaik dari World Tour, Pro Benua serta Benua dan pasukan kebangsaan dari serata Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan dan Asia serta mampu mengembangkan sayap PETRONAS dengan lebih meluas.

Katanya, bersesuaian dengan status perlumbaan itu, PETRONAS akan terus komited menyokong LTdL kerana ia bukan hanya perlumbaan berbasikal tetapi bahagian penting dalam agenda negara untuk menggalakkan pelancongan sukan dan memacu ekonomi tempatan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (enam, kiri) bersama Juara keseluruhan peringkat pertama ‘Kuching Loop’ LTdL. FOTO Bernama

“LTdL antara acara sukan yang dekat dengan hati rakyat negara ini. Semua lapisan masyarakat akan datang menyaksikan pelumba basikal melintasi garisan penamat. Ini membuktikan sukan dapat menyatukan kita semua.

“LTdL satu perlumbaan unik merentasi banyak negeri mendekati ramai penduduk negara ini, jadi kami percaya ia platform terbaik untuk membina dan mengembangkan jenama ini sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Tumpuan besar pastinya akan diberikan kepada negara, apabila mengambil kira jumlah peminat perlumbaan basikal kira-kira 3.5 bilion orang, kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara serta China.

Justeru, PETRONAS mahu terus memacu jenama itu dengan menjadi sebahagian daripada syarikat korporat yang menyokong penuh pembangunan sukan negara terutama untuk melahirkan lebih ramai pelumba tempatan bertaraf profesional.

“PETRONAS sentiasa menyokong usaha mempromosikan sukan berbasikal dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan muda dan LTdL ini sangat dikenali sebagai pentas awal untuk juara berbasikal masa depan.

“Kami yakin perlumbaan ini mampu menjadi platform buat pelumba negara bergelar pelumba profesional dan mengulangi pencapaian pernah dilakar pelumba negara seperti Anuar Manan pada 2010.

“Malah kita sudah melihat juara dunia ‘lahir’ daripada perlumbaan ini sebagai contoh Egan Bernal dari Colombia yang pernah beraksi di LTdL pada 2017. Dia muncul pemenang termuda menyarung jersi kuning (juara keseluruhan) dalam sejarah LTdL dan berjaya memenangi Tour de France tahun lalu,” katanya.

Penerima jersi kuning, Danilo Celano (dua kanan), hijau, Walscheid (tiga kanan), merah, Muhammad Nur Aiman (kiri) dan putih, Federov (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir

Edisi ke-25 sempena sambutan jubli perak akan memberikan pendedahan tidak ternilai bagi negara, terutama di sekitar laluan perlumbaan sejauh 1,095.7 kilometer (km).

Malah LTdL 2020 lebih bermakna apabila ia turut dianjurkan di Malaysia Timur di samping penganjuran acara baharu iaitu Malaysian International Criterium Race dan Malaysian International Classic Race.

Di bawah sepanduk tema ‘Sports Unite, Cycling Contributes’, PETRONAS LTdL 2020 menjemput rakyat dan peminat sukan tanah air untuk turut serta menyertai pelbagai acara sampingan yang sudah diaturkan di sepanjang lokasi permulaan dan penamat di setiap peringkat seperti di Kuching, Kuala Terengganu, Kerteh, Temerloh, Kuala Lumpur, Putrajaya, Genting Highlands, Kuala Kubu Bharu, Bandar Meru Jaya, Taiping, Pulau Pinang, Bagan, Alor Setar dan Pulau Langkawi.

All copyrights for this article are reserved to Metro