“MEMANG ada akademi yang mahu untung saja dan ibu bapa perlu selidik dengan betul sebelum mendaftarkan anak mereka.”

Itu pendedahan pengusaha akademi bola sepak terkenal di Lembah Klang, Mohammad Shazwan Wong Abdullah yang mempertikaikan keikhlasan segelintir akademi yang lebih memikirkan keuntungan daripada pembangunan bakat.

Menurut pemilik akademi FC Kuala Lumpur itu, ibu bapa harus peka dan tahu selok belok mengenai pembangunan bola sepak supaya tidak mudah diperdaya segelintir akademi yang mengaut keuntungan setiap bulan tanpa menghiraukan bakat pemain di bawah naungan mereka.

Katanya, beliau pernah berdepan dengan rungutan ibu bapa yang melahirkan kekecewaan terutama janji kosong pengusaha yang menawarkan pelbagai kemudahan, namun segala-galanya hanya indah khabar daripada rupa.

“Keluarga kena tahu apa yang mereka akan dapat apabila anak mereka mula menyertai sesebuah akademi. Setidak-tidaknya ibu bapa perlu tahu sedikit mengenai ilmu pembangunan bola sepak.

“Contoh ada satu kes, ibu bapa bayar sejumlah wang kepada akademi dan apabila datang ke sesi latihan, jurulatih berkenaan melatih pemain sampai 40 orang dan ibu bapa perlu tahu kaedah itu salah. Biasanya nisbah melatih pemain berumur 8 tahun ke bawah dalam 12-14 orang saja dengan seorang jurulatih. Itu baru cara yang betul dalam melatih pemain peringkat umur.

“Tapi kalau katakan terima pembayaran dan hanya sorang jurulatih saja yang melatih sampai 40 orang tanpa ada penolong jurulatih, ibu bapa kena tahu benda itu salah.

Perkara kedua, kelengkapan latihan mesti cukup. Kalau datang 20 pemain tapi cuma ada dua biji bola, sudah tentu ada sesuatu perkara tak betul dalam akademi terbabit. Jadi pokok pangkal, pengetahuan ibu bapa amat penting dalam usaha membenteras akademi yang salah atau haram ini,” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, akhbar ini melaporkan pendedahan bekas pemain kebangsaan era 1980-an, Bakri Ibni yang bimbang dengan lambakan akademi haram di seluruh negara dan mengakui ramai ibu bapa mengadu ditipu oleh segelintir pengusaha yang hilang selepas menerima bayaran.

Jelasnya, ada juga akademi yang tamak haloba dengan menganjurkan pertandingan tetapi kemudian ‘ghaib’ tidak membayar wang kemenangan kepada pemenang.

Mengulas lanjut, Shazwan berkata, beliau bersama FC Kuala Lumpur yang ditubuhkan 20 tahun lalu amat menitikberatkan soal perkembangan pemain daripada memikirkan keuntungan semata-mata.

Menurutnya, sehingga kini akademinya sudah berjaya melahirkan ramai pemain berbakat yang berjaya mengetuk pintu beberapa pasukan negeri termasuk terpilih menyertai skuad elit Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang.

All copyrights for this article are reserved to Metro