TORINO mengatasi Genoa 5-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Itali pagi ini, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi yang berlarutan sehingga tambahan masa.

Andrea Favilli meletakkan Genoa didepan selepas 14 minit permainan berdepan musuh Serie A di Turin namun Lorenzo De Silvestri menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke 23 perlawanan.

Penjaga gol Genoa, Andrei Radu menafikan tandukan Andrea Belotti pada separuh masa kedua dengan kapten Torino itu turut terlepas peluang menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan.

Torino beraksi pada 15 minit terakhir perlawanan masa tambahan dengan kekurangan seorang pemain selepas perancang tengah mereka Souahilo Meite diperintah keluar padang akibat menerima kad kuning kedua.

Perlawanan ditentukan menerusi penalti dengan penjaga gol Torino, Salvatore Sirigu menafikan usaha dilakukan Ivan Radovanovic dengan Alex Berenguer mengesahkan kemenangan selepas berjaya menyempurnakan penalti.

Juara lima kali Torino, kali terakhir memenangi trofi berkenaan pada 1993, akan berdepan sama ada AC Milan atau SPAL pada suku akhir.

Penyandang kejuaraan, Lazio akan memulakan aksi mempertahankan kejuaraan berdepan kelab dari Serie B Itali, Cremonese pada Selasa.

All copyrights for this article are reserved to Metro