PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan kejohanan Piala Presiden, Piala Belia serta Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini berikutan pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pembatalan penganjuran berkuatkuasa serta merta.

Katanya, pembatalan berkenaan berdasarkan tempoh akhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih lagi belum diketahui.

“Sukan bola sepak juga dikategorikan sebagai aktiviti bersentuhan yang dilarang sepanjang tempoh PKPB oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kebimbangan akan ada potensi penularan pandemik Covid-19 di kalangan pemain, pegawai sukan dan individu yang terbabit dalam perlawanan berkenaan nanti,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tiada pasukan yang akan dinobatkan sebagai juara membabitkan Piala Belia dan Presiden walaupun perlawanan sudah berlangsung sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Semua perlawanan yang berlangsung sebelum ini tidak sah manakala segala insentif, hadiah wang tunai dan juga medal tidak akan diberikan kepada mana-mana pasukan,” katanya.

Berikutan keputusan terbabit, FAM menggalakkan pemain daripada pasukan berkenaan diserapkan ke dalam skuad utama di Liga Super atau Liga Perdana berdasarkan garis panduan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya.

Mengikut rekod, perlawanan Piala Belia dan Presiden bermula pada penghujung Februari lalu dengan sekurang-kurangnya lima perlawanan sudah pun berlangsung membabitkan 23 pasukan.

All copyrights for this article are reserved to Metro