PENULARAN Covid-19 yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi seribu hikmah buat pelari pecut negara, Muhammad Aqil Yasmin.

Aqil yang menjalani pembedahan pada kaki kiri Mac lalu kini mempunyai tempoh masa mencukupi untuk memastikan kakinya benar-benar pulih sebelum turun membakar trek perlumbaan.

Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak itu kini menjalani rawatan pemulihan di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

“Sudah hampir tiga bulan selepas saya menjalani pembedahan dan sakit itu memang dah tak ada tapi saya perlu menjaga di bahagian hamstring yang adakalanya masih ada rasa tidak selesa.

“Sekarang ini, saya ikut saja jadual pemulihan dan jurulatih juga (Simon Lau) yang mahu memastikan saya benar-benar pulih sebelum beliau menyusun kembali jadual latihan saya,” katanya.

Semangat juangnya tidak pernah luntur dan dia yang mempunyai catatan terbaik peribadi 10.39 saat yang dilakukan di Sukma Perak dua tahun lalu berkata, fokus utamanya selepas ini adalah melayakkan diri ke temasya Sukan Sea.

Bagaimanapun, dia perlu mengatasi raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi dan beberapa pelari pecut lain seperti Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan.

All copyrights for this article are reserved to Metro