TUNGGANGAN cemerlang Fabio Quartararo sekali lagi ditagih pasukan MotoGP, Petronas Yamaha SRT untuk mengharungi musim baru selepas meraih pencapaian cemerlang pada musim lalu.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, dengan Quartararo sudah pun menandatangani kontrak bersama Yamaha sehingga 2022, maka pelumba Perancis itu pasti boleh memberi fokus sepenuhnya untuk musim baru yang bakal bermula di Qatar, Mac depan.

“Di atas kertas, sememangnya kami mengharapkan aksi cemerlang Quartararo. Kariernya sudah terjamin apabila akan bersama Yamaha sehingga 2022.

“Jadi dia boleh fokus dan cuba mendapatkan podium tertinggi iaitu memenangi perlumbaan,” katanya selepas majlis memperkenalkan pasukan.

Malah jelas Razlan, harapan tinggi diletakkan kepada Quartararo selepas dia memperoleh jentera sama seperti pasukan pengeluar, Monster Energy Yamaha yang dibarisi oleh Valentino Rossi sera Maverick Vinales.

PELUMBA pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Quartararo (kiri) dan Morbidelli ketika majlis memperkenalkan pasukan di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH

“Quartararo sendiri meminta jentera sama dengan pasukan pengeluar dan dia sudah pun memperolehinya.

“Sekarang masanya untuk buktikan kemampuan dirinya di atas litar,” katanya. Untuk seorang lagi pelumba, Franco Morbidelli pula, Razlan berharap pelumba Itali itu mampu membuktikan dia masih berhak kekal bersama pasukan.

“Morbidelli akan mengunakan jentera pengeluar edisi tahun lalu tetapi ditambah baik. Selepas lima atau enam perlumbaan, kami akan menilai prestasinya sebelum memikirkan berhubung masa depannya,” katanya.

Quartararo menamatkan kempen musim lalu dengan menduduki tempat kelima keseluruhan apabila meraih 192 mata sekali gus muncul pelumba baru terbaik.

All copyrights for this article are reserved to Metro