PERMATA baharu Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim pantas mencuri tumpuan apabila berjaya menambat hati barisan jurulatih untuk disenaraikan dalam skuad Penyu pada saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini.

Penjaga gol berusia 19 tahun berketinggian 1.90 meter berasal dari Kampung Telaga Papan, Setiu itu mula menjadi sebutan peminat setia selepas memperagakan aksi cemerlang dalam tiga aksi persahabatan bertemu Terengganu FC II, Kelantan United dan minggu lalu menang 4-0 bertemu kelab Singapura, Hougang United.

Keputusan kem TFC membawa masuk bekas penjaga gol utama skuad Piala Belia Terengganu itu ternyata tepat dalam misi mengasah lagi bakatnya untuk bergelar penjaga gol terbaik.

Malah anak seorang pemandu bot pelancong di Pulau Redang itu yang bakatnya mula dihidu ketika belajar di SK Telaga Papan sebelum menyambung pendidikan di SMK Penarik, Setiu juga mengidam mengawal gawang skuad senior kebangsaan suatu hari nanti.

“Jujur sebenarnya saya tidak menyangka terpilih menyarung jersi skuad utama (TFC) musim ini kerana saya masih lagi baharu dan belum ada pengalaman lagi beraksi di pentas tertinggi terutama Liga Super.

“Namun saya bersyukur dengan kepercayaan diberikan barisan jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menaikkan `pangkat’ saya daripada pasukan belia, saya sudah sedia dan menyahut panggilan ini lebih-lebih lagi saya sukakan cabaran baharu.

“Impian saya bukan saja mahu bersaing secara sihat untuk bergelar penjaga gol nombor satu TFC dalam penampilan sulung musim 2020 ini, malah saya juga impikan sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan pada tahun ini seperti musim lalu ketika bersama pasukan Piala Belia.” Selain Rahadiazli, TFC turut memiliki dua penjaga gol berpengalaman, Mohd Shamirza Yusof dan Mohd Ilham Amirullah Razali.

All copyrights for this article are reserved to Metro