PENJAGA gol Bournemouth, Aaron Ramsdale dilaporkan positif Covid-19 selepas beberapa hari kelabnya mengumumkan seorang pemain yang tidak dinyatakan nama dijangkiti virus berkenaan.

Pemain berusia 22 tahun itu memberitahu SunSport dia tidak mempunyai simptom dan ujian pada 18 Mei menunjukkan dia negatif sebelum diuji positif Jumaat lalu.

Terdapat dua individu yang diuji positif melalui ujian terbaru Covid-19 membabitkan pemain dan staf Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan satu lagi keputusan datang dari kelab berbeza.

Ujian pertama menunjukkan enam individu diuji positif termasuk pertahanan Watford, Adrian Mariappa dan penolong pengurus Burnley, Ian Woan.

Ramsdale, yang juga penjaga gol utama Bournemouth, memberitahu The Sun dia percaya mendapat jangkitan itu di pasaraya.

“Ia memang mengejutkan. Saya tidak berhubung dengan orang lain dan sekarang saya dijangkiti.

“Saya tidak menunjukkan sebarang simptom, jadi fakta orang muda yang sihat boleh dijangkiti memang sangat menakutkan dan membimbangkan,” katanya.

All copyrights for this article are reserved to Metro