FABIO Cannavaro percaya Real Madrid perlu Kylian Mbappe supaya pemain itu dapat mengikut jejak Cristiano Ronaldo, namun berasakan amat sukar menandatangani bintang Paris Saint-Germain itu.

Mbappe, 21, terus dikaitkan dengan perpindahan ke Madrid dari PSG selepas membintangi tiga musim terakhir di kelab gergasi Perancis itu.

Madrid mendapati sukat mencari pengganti Ronaldo, yang mengambil keputusan meninggalkan gergasi La Liga itu dan menyertai Juventus pada 2018.

Cannavaro yang memenangi dua kejuaraan La Liga bersama Madrid sebagai pemain, berkata Mbappe mungkin pemain yang diperlukan kelab itu untuk meneruskan apa yang telah dilakukan Ronaldo.

Mbappe (kanan) bersama rakan sepasukannya di PSG, Edinson Cavani. FOTO AgensiMbappe (kanan) bersama rakan sepasukannya di PSG, Edinson Cavani. FOTO Agensi

“Real Madrid memerlukan pemain seperti Mbappe, bintang muda yang boleh mengikut jejak Cristiano Ronaldo,” kata jurulatih Guangzhou Evergrande itu kepada AS.

“Ia perkara normal jika Madrid mahu menandatanganinya tetapi kita juga perlu mengambil kira bahawa pemilik PSG tidak memerlukan wang itu.

“Mereka mempunyai impian dan bercita-cita untuk memenangi Liga Juara-Juara.

“Saya fikir agak sukar untuk Madrid mendapatkannya. Presiden PSG adalah seseorang yang mahukan kemenangan, saya amat mengenali mereka dan mereka akan berjuang untuk mengekalkan Mbappe.”

Mbappe memenangi tiga kejuaraan Ligue 1 selain kejuaraan Piala Perancis dan Piala Liga Perancis bersama PSG.

Dia meledak 30 gol daripada 33 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini sebelum kempen Ligue 1 ditamatkan kerana pandemik Covid-19.

All copyrights for this article are reserved to Metro